TEMPOH PERKHIDMATAN Tempoh perkhidmatan Guru Ganti tidak melebihi tiga(3) bulan.Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan perkhidmatan, tempoh berkenaan boleh dilanjutkan sehingga maksimum tiga (3) bulan lagi.
DASAR PENGAMBILAN
Dasar Pengambilan Guru Ganti adalah seperti berikut:
(a) Guru Ganti hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.
(b) Guru Ganti tidak termasuk dalam kategori pegawai awam seperti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2011 atau peraturan-peraturan lain yang berkuat kuasa.
(c) Guru Ganti dibayar upah di bawah peruntukan Objek Sebagai (OS) 29000.
(d) Calon yang hendak diambil sebagai Guru Ganti hendaklah memiliki sekurang-kurangnya kelayakan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (mendapat Kepujian Bahasa Malaysia dan mendapat kepujian dalam empat mata pelajaran lain).
(e) Pengambilan Guru Ganti hendaklah berdasarkan keperluan tugas yang bersesuaian dengan kelayakan akademik berasaskan prinsip kadar upah untuk kerja (rate for the job), dan berdasarkan peruntukkan semasa.
(f) Waktu kerja adalah mengikut jadual guru ganti di sekolah mengikut hari bekerja(persekolahan) sahaja.
(g) Guru Ganti tidak layak dibayar Elaun Lebih Masa.
(h) Guru Ganti tidak layak dibayar upah bagi cuti mingguan, cuti kelepasan am dan hari yang Guru Ganti tidak hadir bertugas.
(i) Ketua Jabatan dan Guru Ganti hendaklah mencarum dalam Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
(j) Ketua Jabatan hendaklah memastikan Guru Ganti tidak menandatangani surat rasmi jabatan.
(k) Guru Ganti adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa yang dipanjangkan oleh kerajaan kepada mereka atau arahan pentadbiran lain yang ditetapkan oleh Ketua Jabatan.
(l) Guru Ganti tidak layak menerima faedah persaraan seperti yang ditetapkan dalam undang-undang pencen yang berkuatkuasa.
(m) Pengambilan Guru ganti bukan suatu jaminan untuk diserap sebagai pegawai lantikan tetap. Sebaliknya, Guru Ganti yang memenuhi syarat yang ditetapkan dalam mana-mana skim perkhidmatan hendaklah memohon kepada Pihak Berkuasa Melantik yang berkenaan melalui proses pengambilan biasa.
(n) Ketua Jabatan boleh menamatkan perkhidmatan seseorang Guru Ganti apabila perkhidmatannya tidak lagi diperlukan walaupun tempoh perkhidmatan Guru Ganti berkenaan masih belum tamat.
PROMOSI
Iklan pengambilan Guru Ganti akan dilakukan dengan menggunakan kaedah dalam talian melalui laman web JPN Perlis.
http://jpnperlis.moe.gov.my/
PROSEDUR PENGAMBILAN GURU GANTI
a) Iklan
Permohonan boleh dilakukan sepanjang tahun melalui laman web JPN Perlis.
http://jpnperlis.moe.gov.my/
b) Pemilihan dan Tawaran
Hanya pemohon yang memenuhi syarat yang ditetapkan dan lulus sesi temuduga sahaja akan diterima sebagai Guru Ganti. Keputusan permohonan menjadi Guru Ganti akan diberitahu melalui surat tawaran.
c) Peraturan Memilih Guru Ganti
Sekiranya terdapat lebih dari seorang calon Guru Ganti yang sesuai ditempatkan sebagai guru ganti di sesebuah sekolah yang memerlukan, pemilihan dibuat berdasarkan kepada keutamaan berikut:
i) Opsyen yang tepat seperti dikehendaki.
ii) Jarak terdekat dari tempat bertugas.
d) Kesihatan
Pemohon yang dipilih menjadi Guru Ganti hendaklah sihat tubuh badan.
BIDANG TUGAS
a) Guru Ganti yang telah dilantik akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seperti guru tetap. Mereka perlu mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran yang ditinggalkan oleh guru tetap yang bercuti atau berkursus.
b) Buku persediaan mengajar dan rekod-rekod pelajar perlu disediakan dan diselia seperti yang dilaksanakan oleh guru yang digantikan, termasuk juga aktiviti kokurikulum.
6.3 Guru ganti juga perlu melaksanakan aktiviti kokurikulum di waktu petang seperti tugas guru tetap yang diganti oleh beliau.
CARA MEMBUAT PERMOHONAN
c) Permohonan hendaklah menggunakan borang yang boleh dimuat turun dari laman web Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
http://jpnperlis.moe.gov.my/ atau muatturun di bawah
b) Semua permohonan hendaklah disertakan dengan salinan Ijazah/Diploma/STPM dan Sijil Pelajaran Malaysia serta salinan kad pengenalan.
c) Semua permohonan hendaklah dihantar kepada Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
ALAMAT PERMOHONAN
Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Perlis
Jalan Tun Abdul Razak
01990 Kangar
PERLIS
(u.p. : Ketua Sektor Pengurusan Sekolah)